Mattia Perin menganggap percubaan untuk menyamai pencapaian Gianluigi Buffon di Juventus adalah sesuatu yang mustahil.

Penjaga gol ikonik, Buffon, akhirnya menamatkan tempoh 17 tahun bersama The Old Lady selepas kontraknya tamat pada musim 2017/18, di mana dia menjulang sembilan trofi Serie A dan empat kejuaraan domestik berganda.

Pemain berusia 40 tahun itu meneruskan kariernya bersama Paris Saint-Germain (PSG) di mana dia menandatangani kontrak dengan pilihan untuk melanjutkan tempohnya.

Apabila ditanya mengenai legasi Buffon di Turin memberikan beban kepadanya selepas melengkapkan perpindahan bernilai RM56 juta dari Genoa, Perin menjawab: "Untuk menyamai apa yang dilakukan Buffon, jika tidak mustahil, ia sangat sukar.

"Dia adalah penjaga gol terhebat dalam sejarah bola sepak, menjadi rujukan buat semua penjaga gawang. Berlatih bersamanya merupakan satu penghargaan dan penghormatan buat saya.

"Saya dapat memahami pilihannya. Mengenalinya secara individu yang sukakan cabaran, hanya seorang juara yang mampu beraksi melebihi usia 40 tahun."

Perin tampak akan bermula selaku pemain gantian buat Wojciech Szczesny yang telah mengharungi 11 perlawanan tanpa dibolosi dalam 17 aksi musim lalu, namun dia berharap dapat mencabar kesebelasan utama di bawah bimbingan Massimiliano Allegri.

"Saya sedar akan bermula tanpa kelebihan tetapi persaingan di antara saya dan Szczesny sangat bagus.

"Dia memiliki pengalaman tahun lalu dan telah mengesahkan tempat selaku pengganti Buffon. Saya akan terus berlatih dan bersedia apabila diperlukan."