Penjaga gol Argentina, Juan Musso, berkata ia merupakan satu kebanggaan kerana Lionel Messi akan kembali ke pentas antarabangsa.

Messi tidak bermain untuk Argentina sejak tersingkir daripada pusingan 16 Piala Dunia tahun lalu tetapi pemenang Ballon d'Or lima kali itu akan kembali untuk aksi persahabatan berdepan Venezuela dan Maghribi.

Segar daripada meledak hatrik ke-33 dalam saingan LaLiga, Messi akan membuat penampilan berdepan Venezuela di Madrid sebelum bertemu Maghribi empat hari berikutnya, dan penjaga gol Udinese, Musso, gembira dengan kepulangannya.

"Kami sangat gembira," kata Musso. "Dia berlatih sama seperti kami semua dan ia merupakan satu kebanggaan kerana dapat menyaksikan dia kembali ke dalam skuad antarabangsa.

"Saya berharap kami semua dapat meraih keputusan yang diinginkan."

Messi – penjaring terbanyak Argentina sepanjang zaman dengan 65 gol -- menjaringkan 29 gol dalam saingan LaLiga musim ini di samping 39 gol untuk semua kejohanan bersama Barcelona.

Pemain berusia 31 tahun itu yang meledak enam gol dalam tiga perlawanan terakhirnya, kali terakhir menjaringkan gol untuk Argentina ketika meraih kemenangan dramatik ke atas Nigeria untuk melangkah ke pusingan 16 Russia 2018.