Juara tiga kali Grand Slam, Andy Murray, melahirkan minat untuk menjadi 'Jose Mourinho' seterusnya kerana menggemari permainan bola sepak fantasi.

Murray baru-baru ini bercakap mengenai kecenderungannya untuk beralih bidang sukan selepas bersara daripada tenis walaupun dia tidak mempunyai rancangan khusus.

Bagaimanapun, keseronokannya terhadap bola sepak fantasi -- Murray memilih Paulo Dybala, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam World11 2016-17 -- bermakna pemain berusia 30 tahun itu mempunyai minat terhadap sukan itu.

"Saya tidak tahu (apa yang perlu dilakukan dalam bola sepak), saya hanya mendapati sukan itu sangat menarik," katanya kepada FIFA.com sebelum Majlis Anugerah Terbaik di London, 23 Oktober ini.

"Saya suka membaca, menonton dan bercakap tentang bola sepak. Jadi, jika saya mahu melakukan sesuatu yang bukan tenis, saya fikir saya cukup bersemangat dan mungkin mahu melakukan sesuatu dalam bola sepak.

"Saya seorang peminat bola sepak fantasi, jadi saya mungkin menggemari pengurus -- tetapi ia berbeza dengan situasi sebenar, tidak semudah yang difikirkan oleh semua orang."