Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyifatkan penganjuran Kejohanan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) sebagai medan terbaik ke arah memperkenalkan liga futsal profesional pada masa depan.

Penyelaras Projek Pembangunan Pejabat Serantau FIFA, Niko Nhouvannasak, berkata badan induk bola sepak dunia itu sentiasa menggalakkan anggota gabungannya untuk menganjurkan lebih banyak pertandingan sedemikian bagi meningkatkan kualiti futsal pada masa depan.

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) adalah contoh terbaik kerana badan sukan ini sudah memulakan langkah melabur dalam pertandingan dan infrastruktur.

"Liga futsal yang baru diperkenalkan di Malaysia, MPFL, sememangnya berpotensi sebagai penanda aras dalam liga futsal profesional.

"Kami berharap usaha ini akan menggalakkan serta menarik lebih ramai pemain dan jurulatih untuk menyertai futsal pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini.

Pada masa sama, Nhouvannasak turut menekankan kepentingan dana kewangan yang kukuh bagi memastikan kejohanan seperti MPFL kekal mapan, terutama dalam sudut pembangunan.

"Bagaimanapun, saya percaya dengan sokongan daripada FIFA dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), FAM akan menepati ciri-ciri yang diperlukan dalam memastikan liga futsal ini kekal di Malaysia," jelasnya.

FAM melancarkan MPFL baru-baru ini dengan hasrat memastikan liga futsal di negara ini menuju ke arah profesional selaras dengan Pelan Hala Tuju FAM: F30 yang dilancarkan tahun lalu.

MPFL, yang julung kali diadakan bakal bermula April ini, akan berlangsung selama enam bulan dengan melibatkan penyertaan 15 pasukan, termasuk lima pasukan wanita.

-- BERNAMA