Jose Mourinho mencadangkan beliau sedia untuk mengambil tugas dalam Ligue 1 selepas menghadiri perlawanan Lille di tempat sendiri menentang Montpellier, semalam.

Mourinho, yang bekerja sebagai pengulas televisyen sejak dipecat Manchester United, Disember lalu, turut bergambar dengan bekas penyerang Perancis, Nicolas Anelka, ketika menonton perlawanan itu yang berkesudahan 0-0 di Stade Pierre Mauroy.

“Lihat siapa yang menjadi undangan di Stade Pierre Mauroy untuk menghadiri #LOSCMHSC," ciap Lille menerusi Twitter berserta foto Mourinho menonton perlawanan itu.

“Tidak, tidak, anda tidak bermimpi – ia memang Jose Mourinho, secara nyata,” tambahnya.

Jurulatih Portugis itu telah memenangi kejuaraan liga di negara asalnya selain di Itali, Sepanyol dan England sepanjang kerjaya cemerlangnya yang turut menghasilkan gelaran berganda dalam Liga Juara-Juara.

Ia mendorong Mourinho untuk mencadangkan dia mungkin berminat untuk bekerja di Perancis.

“Saya boleh membayangkan diri saya sebagai seorang jurulatih dalam Ligue 1," kata Mourinho, yang sebelumnya menepis spekulasi dia mungkin mengendalikan Benfica, kepada beIN SPORTS.

“Saya pernah bekerja di empat negara berbeza, saya ingin mengetahui dan belajar budaya berbeza. Bekerja dalam kejohanan baru akan menjadi pengalaman menakjubkan.

“Buat ketika ini, saya berasa tenang. Saya cuba menjalani hidup lebih baik dengan keluarga dan sahabat. Saya berusaha untuk mendapat peluang yang tepat untuk kembali kepada latihan.

"Dua atau tiga bulan (tanpa pekerjaan) adalah ok, selepas itu ia akan lebih sukar. Saya berharap mendapat peluang untuk kembali dengan lebih kuat.

“Projek saya adalah projek sebagai seorang individu dan jurulatih, untuk memperbaiki diri saya, menjadi lebih baik, untuk memikirkan hari-hari berkaitan pekerjaan saya, yang juga satu keghairahan. Tapi ini bukan masanya untuk bercakap dengan kelab-kelab.”

Mourinho, yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan Paris Saint-Germain (PSG), dilaporkan adalah tetamu kepada Pengarah Teknikal Lille, Luis Campos, yang pernah bekerja dengannya di Real Madrid.