Jose Mourinho percaya usia serta kebolehan yang dimiliki Kylian Mbappe menjadikan dirinya lebih bernilai berbanding Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe, sudah menjulang Piala Dunia, dua gelaran Ligue 1 serta meledak 55 gol sementara berada di tangga keempat dalam persaingan anugerah Ballon d'Or sebelum hari lahirnya yang ke-21.

Kematangan permainan Mbappe di atas padang, ditambah pula dengan usia yang masih muda, mengundang pandangan yang berbeza daripada bekas pengendali Manchester United, Mourinho, terhadap nilainya yang jauh lebih tinggi berbanding Messi dan Ronaldo.

Bekas ketua jurulatih Chelsea, Inter dan Real Madrid itu berasakan pemain kebangsaan Perancis itu mampu menjadi pemain termahal dunia mengatasi rakan sepasukannya di PSG, Neymar.

"Untuk pemain seperti Mbappe, apabila anda bercakap mengenai masa depan, anda tidak perlu menjangkakan prestasinya untuk lima atau 10 tahun lagi," kata Mourinho.

"Beri tumpuan sekarang kerana dia sangat menakjubkan.

"Mbappe yang masih muda dapat mempamerkan persembahan yang hampir seiring dengan Ronaldo, Messi dan Neymar. Saya berasakan dia adalah pemain paling bernilai di dunia.

"Buat masa ini, dia adalah pemain termahal dalam dunia bola sepak."

Mbappe meledak jaringan pembukaan ketika PSG meraih kemenangan 3-1 ke atas Marseille sebelum menyertai skuad kebangsan Perancis untuk kelayakan Euro 2020 berdepan Moldova dan Iceland.