Frank Lampard percaya Jose Mourinho akan "membenam ramai pengurus" ketika dia bersiap menghadapi bekas pengurusnya itu awal pagi esok.

Pengurus Derby County berkenaan akan berdepan skuad kendalian Mourinho itu dalam pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) selepas pengendali Portugis itu melatihnya sepanjang dua tempoh berbeza di Chelsea.

Lampard hanya mempunyai pengalaman mengemudi 11 perlawanan ekoran pelantikannya sebagai bos The Rams pada Mei lalu dan percaya dia akan muncul sebagai bekas anak buah pertama Mourinho yang beralih kepada bidang pengurusan.

"Jose akan menguburkan ramai pengurus," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Jika ia membuatkan beliau berasa sudah tua, ia juga membuatkan saya berasa sudah tua, apa yang telah dicapainya sebagai pengurus tidak perlu lagi dibangkitkan.

"Saya seperti seorang bayi dalam bidang pengurusan. Adalah sesuatu yang bagus untuk menentangnya tetapi kami sebagai sebuah kelab akan menentang Manchester United.

"Ia bagus untuk bersua dengannya dan berbual, saya tahu dia akan menyokong kerjaya saya -- tetapi bukan pada malam esok!"

Lampard mempamerkan sentuhan mengagumkan di Derby setakat ini menerusi kemenangan 3-1 ke atas Brentford, Sabtu lalu, yang membawa mereka ke kelompok enam teratas.

Sementara itu, United bergelut dalam permulaan musim ini serta mengalami kekecewaan ketika menentang Wolves hujung minggu lalu, begitupun Lampard sedar pasukannya harus berada di tahap terbaik untuk maju ke pusingan seterusnya.

"Saya tidak mempunyai ilusi," katanya. "Mereka adalah pasukan yang sangat sukar untuk ditentang, kami adalah underdog -- tetapi itu bagus untuk kami."