Orlando Pride mengesahkan bakal menerima kepulangan pemain bintang USWNT, Alex Morgan, daripada Lyon menjelang kempen NWSL 2018.

Antara pemain bintang dalam arena bola sepak wanita, Morgan, dipinjamkan ke Lyon awal tahun ini dan berjaya membantu pasukan itu meraih kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali keempat.

Perjanjian pinjaman itu disertakan dengan klausa yang membenarkan Morgan terus kekal di Perancis sekiranya berjaya merangkul kejuaraan, namun dia memilih untuk kembali ke Amerika Syarikat.

"Daripada perspektif bola sepak, saya telah menjalankan tanggungjawab saya dalam membantu Lyon meraih kejuaraan," kata Morgan dalam satu kenyataan.

"Saya amat berterima kasih dengan peluang yang telah diberikan kepada saya untuk beraksi bersama Lyon dan saya akan selamanya menghargai pengalaman ini.

"Tetapi kembali di sini, pasukan ini telah membantu saya dalam setiap proses. Saya dan Lyon bersetuju untuk menamatkan kontrak dan kembali bersama Orlando Pride."

Morgan meledak 12 gol dalam 16 penampilan bersama OL.