Pemain tengah Real Madrid, Luka Modric, mendedahkan dia tidak pernah mendengar rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo, berbicara soal perpindahan dan yakin penyerang Portugal itu akan kekal bersama Los Blancos.

Ronaldo sebelum ini dikatakan kecewa selepas gagal meraih sokongan tinggi daripada pihak Madrid berikutan kesnya berkaitan cukai di Sepanyol.

Dia juga mengelak daripada bercakap soal masa depannya ketika ditemui bersama pasukan kebangsaan Portugal dalam kejohanan Piala Konfederasi 2017 di Russia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Modric yakin Ronaldo akan kekal bersama juara Eropah itu sambil menyifatkan hubungan Ronaldo dan Real Madrid terlalu istimewa.

“Saya tidak pernah mendengar Ronaldo ucapkan mahu pergi,” ujar Modric.

“Dalam bola sepak, segala-galanya tidak mustahil tetapi saya dapat berasakan hubungan di antara Ronaldo dan Madrid sangat kuat dan dia pasti akan kekal menjadi pemain Real Madrid,” tambahnya.

Dalam masa sama, Modric juga yakin Gareth Bale mampu bangkit dan memacu kejayaan buat Madrid meskipun menghadapi isu kecederaan yang berulang pada musim lalu.

Modric dan Bale adalah rakan sepasukan di Tottenham Hotspur dan dia yakin Bale tidak akan mudah berputus asa walaupun dikaitkan dengan jalan keluar dari Santiago Bernabeu.

“Dia (Bale) menghadapi tahun yang sukar, kerap mengalami kecederaan tetapi semua tahu dia memulakan musim lalu dengan baik.

“Kami tidak perlu mengubahnya dan berharap dapat menyaksikannya semula pada musim akan datang,” tambah Modric.