Pemain tengah Real Madrid, Dani Ceballos, berharap dapat mencontohi Luka Modric dan Toni Kroos selepas mengesahkan perpindahannya ke Santiago Bernabeu.

Ceballos menjadi pemain ketiga menyertai Los Blancos pada musim panas kali ini selepas meninggalkan Real Betis untuk melengkapkan kontrak enam tahun melalui perpindahan bernilai EUR18 juta (RM90 juta).

Pemain berasal dari Sepanyol itu menerima anugerah pemain paling bernilai (MVP) dalam saingan Kejohanan Eropah B-22 tahun, bulan lalu, dan sebaik sahaja menandatangani kontrak di Madrid, dia menamakan Kroos dan Modric sebagai insiprasi utamanya.

“Saya adalah seorang pemain muda.

“Banyak yang perlu saya nikmati, pelajari daripada pemain hebat dan cuba untuk menjadi seperti Kroos dan Modric satu hari nanti,” ujar Ceballos.

Dia melakukan 30 penampilan LaLiga pada musim lalu sekaligus membantu Betis mengelak dari berada di zon penyingkiran.

Tanpa ragu, dia melengkapkan perpindahan ke Madrid dan tidak sabar untuk merebut peluang dalam skuad utama.

“Menyarung jersi Real Madrid adalah satu kebanggaan buat saya kerana ia adalah kelab terbesar di dunia,” tambahnya.