Kapten Croatia, Luka Modric, bertekad untuk memberikan cabaran paling sukar buat Argentina menjelang aksi kedua Kumpulan D, Piala Dunia 2018 di antara kedua-dua pasukan selepas menundukkan Nigeria 2-0, awal pagi tadi.

Kemenangan yang diraih hasil jaringan sendiri Oghenekaro Etebo dan sepakan penalti Modric sendiri membolehkan mereka kini menduduki tangga teratas kumpulan selepas Argentina dan Iceland terikat 1-1, semalam.

Dalam masa sama, Modric mengharapkan kemenangan ke atas Nigeria itu mampu mengukuhkan lagi motivasi rakan sepasukannya untuk mempamerkan aksi terbaik berdepan Argentina yang sudah pasti terdesak untuk mendapatkan kemenangan.

"Argentina memiliki kualiti yang besar tetapi kemenangan ini menyuntik keyakinan kami dalam perlawanan seterusnya," kata Modric selepas diberikan anugerah Pemain Terbaik Perlawanan dalam aksi berdepan Nigeria.

"Kami akan menampilkan aksi terbaik menentang Argentina dan cuba untuk mencuri mata walaupun ia mungkin sukar.

"Mereka akan melakukan segala-galanya untuk menang selepas keputusan yang diraih semalam. Secara tidak langsung, ia akan menjadi penting buat kami dan akan cuba beraksi dengan cemerlang," tambahnya.