Pemain Arsenal, Henrikh Mkhitaryan, berasa rekod cemerlang Unai Emery dalam saingan Liga Europa akan membantu Arsenal musim ini selepas menundukkan Vorskla.

Emery menjulang trofi Liga Europa tiga tahun berturut-turut bersama Sevilla dan aksi pertamanya dalam kejohanan itu bersama Arsenal berakhir dengan kemenangan 4-2 ke atas wakil Liga Perdana Ukraine itu.

Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol dalam setiap babak, Mkhitaryan membantu salah satu jaringan itu serta membuka ruang buat Danny Welbeck melakukan tandukan, sebelum pemain gantian, Mesut Ozil, melengkapkan kemenangan.

Dua gol daripada Vladimir Chesnakov dan Vyacheslav Sharpar memberikan kebangkitan saat-saat akhir buat Vorskla setelah aksi cemerlang mereka dikejutkan dengan gol pendahuluan Aubameyang pada minit ke-32.

"Emery memenangi kejohanan ini tiga kali dan ia penting buat Arsenal kerana kami beraksi dalam pertandingan ini untuk menjadi juara," kata Mkhitaryan.

"Kami bukan sekadar menjadi pelengkap kejohanan. Ia penting kerana jika menang, anda boleh merebut tempat dalam Liga Juara-Juara Eropah, jadi kami cuba memenangi setiap aksi dan melihat di mana hala tuju kami."

Aubameyang dilihat menikmati sentuhan jaringan selepas hanya menyumbat satu gol daripada lima perlawanan liga musim ini, namun bekas penggempur Borussia Dortmund itu kecewa dengan kekalutan dalam pasukan pada penghujung perlawanan.

"Saya rasa kami beraksi dengan baik dalam babak pertama dan di permulaan separuh masa kedua. Kami menjaringkan empat gol," ujar Aubameyang.

"Namun, kami harus meningkatkan persembahan dan tidak membiarkan gawang dibolosi dalam minit-minit terakhir."