Arsene Wenger percaya pemain tengah Arsenal, Henrikh Mikhtaryan, bakal kembali daripada kecederaan lutut dalam masa dua minggu lagi.

Pemain skuad kebangsaan Armenia itu mengalami kecederaan ligamen lutut ketika membantu Gunners menewaskan CSKA Moscow 4-1 dalam aksi pertama suku akhir Liga Europa pada minggu lalu dan dijangka terlepas aksi selema beberapa minggu.

Bagaimanapun, selepas Gunners mengikat CSKA 2-2 dalam aksi kedua, awal pagi tadi, Wenger menyuarakan keyakinannya terhadap bekas tonggak Manchester United itu.

"Ya, dia mengalami kecederaan dan mungkin terpaksa berehat selama dua minggu. Usah khuatir kerana kami mempunyai pasukan perubatan yang bagus dan dia tampak serious dalam proses pemulihan," kata Wenger.

Arsenal berdepan kebangkitan CSKA sebelum jaringan Danny Welbeck dan Aaron Ramsey mengesahkan tiket ke separuh akhir buat Arsenal.

Wenger teruja dengan penampilan lawan di laman sendiri tetapi gembira dengan semangat yang ditunjukkan anak buahnya.

"Anda boleh lihat perbezaan selepas perlawanan sebelum ini tetapi aksi kami bertambah baik selepas memasuki babak kedua.

"Saya mengucapkan tahniah buat skuad bimbingan Viktor Goncharenko kerana menunjukkan prestasi yang hebat. Mereka membuatkan saya tidak senang duduk, terutamanya pada malam ini dengan kepantasan yang di luar jangkaan.

"Selamat maju jaya untuk Goncharenko bagi menghadapi baki saingan musim ini."