Pemain tengah Serbia, Sergej Milinkovic-Savic, menolak perbandingan tentang permainannya dengan pemenang Piala Dunia 1998, Zinedine Zidane.

"Saya melihat diri saya lebih kepada gaya Yaya Toure," katanya.

Milinkovic-Savic menjaringkan 12 gol dalam 35 penampilan bersama Lazio sehingga membolehkan Biancoceleste menamatkan Serie A musim 2017/18 di tangga kelima, namun prestasinya membuatkan dirinya dibandingkan dengan bekas tonggak Perancis, Juventus dan Real Madrid, Zidane.

Pemain berusia 23 tahun itu kini bersama skuad Serbia untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi aksi pertama Kumpulan E Piala Dunia 2018 menentang Costa Rica dan dia bersedia untuk berdepan tekanan beraksi di pentas terbesar itu.

"Saya rasa kini saya berada dalam keadaan terbaik.

"Tekanan? Saya sukakan tekanan kerana ia membawa kepada persembahan terbaik saya. Itu yang saya rasakan apabila memberikan segala kudrat di atas padang dan sesiapa yang mengenali saya akan bersetuju dengannya.

"Saya sudah bersedia dengan aksi di Russia. Jika saya perlu mendapatkan kepercayaan pengendali, Mladen Krstajic, saya akan melakukan yang terbaik."

Dilahirkan di Lleida, Catalonia, Milinkovic-Savic boleh beraksi buat Sepanyol tetapi dia menyifatkan Serbia sebagai negaranya dan sentiasa bangga untuk menegaskan perkara itu.

"Perbandingan dengan Zidane terlalu besar. Saya lebih melihat diri saya dekat dengan corak permainan Toure. Nemanja Matic pula sentiasa menjadi rujukan dan idola buat saya.

"Saya melihat diri saya sebagai perancang di masa depan. Itu corak permainan yang saya gemari dan aksi bersama Lazio musim lalu membuktikannya."