MFL tolak permintaan pasukan Liga M3

By Staff Writer 23 May 2019 12101
MFL tolak permintaan pasukan Liga M3
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak sebulat-bulatnya dua permintaan pasukan daripada Liga M3, iaitu slot automatik ke Liga Perdana dan sumbangan kewangan seperti yang dilaporkan Nadi Arena, Isnin lalu.

Permasalahan yang dihadapi pasukan daripada Liga M3 itu bukanlah hal utama untuk diberikan perhatian oleh MFL.

Ternyata apa yang diminta oleh pasukan berkenaan adalah sesuatu yang mustahil untuk dilunaskan MFL ketika ini.

"Saya rasa kita kena pisahkan isu ketiadaan kewangan dan slot automatik (ke Liga Perdana) kerana apakah kita rasa dengan slot automatik itu secara tiba-tiba akan membuatkan pasukan Liga M3 itu mempunyai kewangan?

"Kalau pasukan itu bergelut untuk mengurus pasukan mereka di peringkat amatur, mustahil mereka dapat mengurus pasukan dalam liga profesional," kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Apa yang jelas, tiada sebarang jaminan daripada pihak MFL untuk memberikan sumbangan kewangan buat pasukan Liga M3 ketika badan pengelola itu sendiri berdepan masalah untuk menunaikan pembayaran geran pasukan Liga Super dan Liga Perdana.

"Apapun, perbincangan yang sekarang ini tetap sama dengan apa yang pernah ada dulu.

"Jadi, sasaran kami adalah untuk mengekalkannya di tahap yang sama atau meningkatkannya pada masa akan datang.

"Kami tidak boleh memandang ke belakang," tambahnya. 

About Author

Staff Writer

Comment