Jurulatih Barcelona, ​​Ernesto Valverde, melabelkan Lionel Messi sebagai 'luar biasa' selepas pemain bintang itu menjaringkan empat gol untuk membantu Barcelona menewaskan Eibar 6-1 dalam La Liga di Camp Nou, awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa Argentina itu menemui tiga gol pada separuh masa kedua selepas membuka jaringannya pada babak pertama untuk mengumpul sembilan gol liga pada musim ini.

Valverde menghamburkan pujian terhadap Messi selepas menyaksikan Barca berkelebihan lima mata di puncak liga.

"Dia adalah pemain paling bijak yang pernah saya lihat di padang bola sepak," katanya dalam sidang akhbar.

"Anda tidak tahu bagaimana tetapi dia tampil dengan luar biasa."

Paulinho dan Denis Suarez turut menjaringkan gol dalam kejayaan Barca, yang meraih kemenangan keenam mereka dalam semua pertandingan.

Bagaimanapun, Valverde berkata Eibar -- yang berada di tangga ke-13 -- lebih baik daripada yang disangkakannya.

"Eibar adalah pasukan yang berani. Sekiranya anda melihat skor selepas perlawanan, ia seolah-olah kami telah menang dengan mudah tetapi itu tidak benar.

"Mereka sering meletakkan kami dalam situasi yang sukar," katanya.