Lionel Messi adalah pemain yang akan muncul sekali dan tidak akan ada kelibat bintang bola sepak lain seperti tonggak utama Barcelona dan Argentina itu, kata Erik Lamela.

Messi menjaringkan hatrik ketika berdepan PSV Eindhoven untuk memberikan Barca permulaan cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah tatkala dia sudah menyumbat empat gol hasil daripada empat penampilan LaLiga musim 2017/18.

Namun, kelibatnya tidak dapat membantu Argentina untuk berjaya di pentas Piala Dunia apabila skuad bimbingan Jorge Sampaoli itu terkandas dalam pusingan 16 susulan kekalahan di tangan juara, Perancis.

Kekecewaan di peringkat antarabangsa dilihat memberikan kerumitan kepada karier Messi, lebih-lebih lagi selepas pemain berusia 31 tahun itu tewas dalam tiga final Copa America serta pentas akhir Piala Dunia 2014.

Messi tidak tampil buat pasukan kebangsaan ketika berdepan Guatemala dan Colombia bulan ini tetapi rakan sepasukannya, Lamela, tidak meragui kualiti yang dimiliki oleh ketua pasukannya itu.

"Messi jelas seorang pemain yang sangat penting buat kami, untuk segala yang dia mampu berikan sebagai seorang pemain serta rakan sepasukan," ujar Lamela.

"Penting untuk mempunyai Messi dalam sesebuah kumpulan. Semua orang tahu dia adalah yang terbaik di atas padang dan sentiasa menjadi faktor untuk menghadirkan kemenangan.

"Apa yang saya lihat apabila beraksi dan berlatih dengannya, dia merupakan pemain terbaik pernah saya lihat sejak mula bermain bola sepak.

"Setiap perlawanan orang ramai dapat melihat apa yang boleh dia lakukan, betapa mudah untuknya menjaringkan gol, membantu jaringan dan melakukan apa yang dimahukan di atas padang. Sejujurnya, tidak akan ada pemain lain seperti dia," tambahnya.

Sementara itu, walaupun sebahagian besar tempohnya di Tottenham Hotspur dihantui masalah kecederaan, Lamela kini mula menyesuaikan diri dengan keadaan di bawah bimbingan individu senegara, Mauricio Pochettino.

"Dalam tahun pertama saya di sini, dia membantu saya kerana Bahasa Inggeris saya tidak begitu baik.

"Penting buat saya untuk memiliki seorang pengurus yang boleh bercakap bahasa Sepanyol bersama beberapa pemain dari Amerika Selatan kerana terdapat ramai pemain muda yang menggunakan bahasa sama.

"Akhirnya, hubungan saya dan Pochettino sama seperti rakan sepasukan yang lain."