Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, menyifatkan Lionel Messi sebagai "pemain luar biasa" selepas berjaya menjaringkan hatrik ketika menewaskan Espanyol 5-0 dalam saingan LaLiga kelmarin.

Kejayaan itu memberikan satu tonik buat gergasi Catalan itu selepas kehilangan khidmat Neymar yang berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) bulan lalu.

Penghijrahan pemain kebangsaan Brazil itu mencetuskan spekulasi Messi juga berkemungkinan mengikut jejak langkah Neymar dan meninggalkan Nou Camp, selepas pemain kelahiran Argentina itu masih belum menandatangani kontrak baru.

Pengarah Sukan Barca, Robert Fernandez, menyatakan bahawa beliau menjangkakan Messi akan memeterai persetujuan baru tidak lama lagi.

Dan Valverde akan berasa lega dengan pemain berusia 30 tahun itu akan memberikan komitmen penuh kepada Blaugrana.

"Saya tumpang gembira dengan kejayaan Messi meledak hatrik dan ia adalah sesuatu yang luar biasa," kata Valverde.

"Kami mengharungi perlawanan yang rumit, ia telah mendatangkan kesukaran kepada kami.

"Walaupun meraih kemenangan yang selesa, Espanyol telah memberikan tentangan kepada kami. Kami sangat bertuah kerana memiliki pemain seperti Messi, Luis Suarez dan pemain-pemain lain yang memberikan yang terbaik untuk pasukan."