Nicolas Otamendi percaya bahawa Lionel Messi mahu menjulang Piala Dunia lebih daripada semua pemain sambil menegaskan rakan sepasukannya itu adalah yang terbaik di dunia.

Messi sudah meraih empat kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah bersama Barcelona dan lima anugerah Ballon D'Or, namun masih belum menjulang sebarang trofi di peringkat antarabangsa.

Kegagalan pemain berusia 30 tahun itu menjulang Piala Dunia menimbulkan persoalan mengenai status pemain terbaik dunia sepanjang zaman kepadanya tetapi Otamendi menegaskan kemarau kejuaraan selama 25 tahun buat Argentina tidak patut ditanggung Messi sahaja.

"Piala Dunia adalah satu-satunya kekurangan Messi tetapi ia tidak menghalangnya daripada menjadi pemain terbaik dunia," kata Otamendi sebelum aksi persahabatan menentang Sepanyol, semalam.

"Harapan sangat tinggi di Argentina dan kami beruntung memiliki Messi kerana dia banyak membantu. Messi sentiasa tenang dalam menyempurnakan tugasan buat pasukan. Dia adalah pesaing dan pemenang, tidak kira ketika perlawanan atau latihan.

"Berbekalkan pemain yang Argentina miliki, Piala Dunia adalah satu tuntutan yang kami mahukan. Ia tidak akan diraih dalam perlawanan pertama dan kami akan beraksi seperti di final dalam setiap perlawanan.

"Ketika di Brazil 2014, kami melangkah ke pentas akhir dan hampir memenanginya. Kami melalui tiga final dan gagal mendapatkan keputusan yang diinginkan tetapi jika kami meraih peluang itu semula, Argentina berhak ke atasnya."

Dalam masa sama, Otamendi percaya corak permainan yang diterapkan Pep Guardiola bersama Manchester City telah membantu dirinya meningkatkan kualiti di atas padang.

"Secara individu, saya mengharungi musim yang sangat baik. Saya menyesuaikan diri dengan pasukan, corak permainan serta pemikiran Guardiola.

"Saya gembira kerana saya bermain bola sepak yang sering saya idamkan," tambahnya.