Pengendali Argentina, Lionel Scaloni, mengesahkan bahawa Lionel Messi akan beraksi dalam kesebelasan utama perlawanan menentang Venezuela awal pagi esok, sekali gus menamatkan tempoh sembilan bulan tanpa aksi antarabangsa.

Messi tidak mewakili negaranya sejak tersingkir daripada pusingan 16 Piala Dunia 2018 susulan kekalahan di tangan Perancis di Russia, Jun lalu.

Selepas tewas 4-3 dalam perlawanan itu, Messi berehat daripada saingan antarabangsa sehingga menyaksikan dia terlepas enam perlawanan sejak Scaloni mengendalikan pasukan.

Namun, Messi akan tampil dalam aksi persahabatan di Madrid awal pagi esok tatkala Argentina sedang melakukan persiapan menjelang saingan Copa America yang berbaki kurang dari tiga bulan lagi untuk bermula.

"Ia satu kegembiraan apabila Messi kembali," kata Scaloni.

"Selain pemain muda, saya berpeluang untuk melatihnya.

"Saya perlu cuba pastikan pasukan bersama Messi dan melakukan yang terbaik daripadanya. Diharapkan kembalinya Messi memberikan kekuatan tambahan buat pasukan."

Bagaimanapun, Scaloni tetap dipalit kekecewaan selepas Angel Di Maria terpaksa disingkirkan daripada skuad ekoran kecederaan otot.

"Apabila pemain berasa sakit, ia tidak bagus buat pasukan dan pengendali," tambah Scaloni.

"Saya perlu menemuinya. Diharapkan, apabila kami meraih senarai nama untuk Copa America, semua pemain dapat disertakan."

Argentina muncul selaku pilihan untuk mengatasi Venezuela di Wanda Metropolitano, terutama apabila Messi kembali ke pangkuan pasukan tetapi Scaloni tidak mahu terlalu yakin.

"Mereka sedang meningkat dan memainkan bola sepak yang menarik," ujar Scaloni.

"Mereka adalah seteru yang sukar, jadi ia bakal menjadi ujian yang bagus buat kami.

"Esok, kami akan cuba lakukan yang terbaik. Kami akan menyerang dan apabila tidak memegang bola, cuba bertahan dengan baik."