Lionel Messi sekali lagi menunjukkan dia dari "planet lain" dengan menjaringkan empat gol ketika menentang Eibar, kata rakan sepasukan Barcelona, Nelson Semedo.

Prestasi Messi berada di tahap luar biasa selepas meledak empat gol dalam kemenangan 6-1 Barca ke atas Eibar dalam La Liga di Camp Nou, awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa Argentina itu telah mengumpul 12 gol sepanjang lapan perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, membuatkan rakan sepasukan dan jurulatihnya, Ernesto Valverde, sekali lagi berasa kagum.

Semedo, yang bermain 90 minit dalam kemenangan besar itu, berkata dia terkejut dengan apa yang dihasilkan Messi.

"Messi hebat," kata pemain antarabangsa Portugal itu melalui laman web kelab.

"Ia adalah satu keistimewaan bermain bersamanya, dia sentiasa memberikan kejutan, dia dari planet lain."

Kemenangan itu meneruskan permulaan sempurna Barca dalam kempen La Liga ketika mereka berkelebihan lima mata di tangga teratas liga.