Bekas pemain tengah Barcelona, Gaizka Mendieta, berpendapat perpindahan Neymar ke Real Madrid bukan sesuatu yang memeranjatkan sekiranya ia berlaku.

Bintang Brazil itu dikaitkan dengan penghijrahan menyertai pemenang Liga Juara-Juara Eropah tiga tahun berturut-turut itu walaupun baru melengkapkan perpindahan ke Paris Saint-Germain (PSG) menerusi satu rekod termahal dunia pada Ogos tahun lalu.

Neymar menyifatkan berita itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak logik walaupu Zinedine Zidane secara terbuka memberitahu bahawa penyerang itu tidak akan berdepan masalah untuk berganding dengan Cristiano Ronaldo.

Tatkala perpindahan melibatkan pemain dari Barcelona dan Real Madrid amat jarang berlaku, kepulangan Neymar ke LaLiga pastinya akan mengundang kontroversi dan Mendieta membandingkan kemungkinan situasi itu dengan keputusan Luis Figo menyertai Los Blancos dari Barca pada 2000.

"Saya tidak akan terkejut jika Neymar menyertai Real Madrid," kata Mendieta.

"Dia adalah seorang pemain yang dapat melihat cabaran seterusnya di Real Madrid dan jika ia berlaku, dia akan melakukan apa sahaja untuk menyempurnakannya. Saya yakin tidak akan terkejut.

"Bagi saya, perpindahan Figo lebih sukar untuk diterima penyokong Barca. Dia lebih penting dan menjadi ketua pasukan buat Barcelona tetapi Neymar telah menyertai PSG terlebih dahulu.

"Sama-sama kita lihat sama ada Neymar akan tiba di Madrid dan beraksi bersama Ronaldo atau tidak. Saya akui Neymar adalah pemain yang hebat tetapi melihat Figo ke Santiago Bernabeu lebih memberikan kesan besar," tambahnya.