Penggodam menyasarkan kelab gergasi LaLiga, Barcelona, dan badan berkaitan Sukan Olimpik dengan menyerang akaun Twitter mereka.

Kumpulan yang dikenali sebagai OurMine itu menyiarkan mesej di beberapa akaun yang dimiliki oleh Barcelona dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Barcelona mempunyai akaun dalam beberapa bahasa yang berkaitan dengan pelbagai aspek kelab, termasuk akademi remaja La Masia dan semuanya menjadi mangsa penggodam.

Kejadian itu berlaku tidak lama selepas Barca menewaskan Getafe untuk menyertai Real Madrid di puncak LaLiga dengan 52 mata.

Setiap akaun yang digodam itu memuat naik mesej: "Hai, kami adalah OurMine. Nah, ini adalah kali kedua, tahap keselamatan (laman sosial ini) bertambah baik tetapi masih bukan yang terbaik untuk meningkatkan keselamatan akaun anda."

Kumpulan OurMine itu pernah melakukan hal yang sama terhadap Twitter kelab yang berpangkalan di wilayah Catalunya itu pada 2017 dengan berkongsi maklumat palsu apabila mengumumkan akan menandatangani Angel Di Maria daripada Paris Saint-Germain (PSG).


Barcelona kemudian menyedari keselamatan siber mereka itu telah dicerobohi sebaik kembali mengambil-alih akaun berkenaan dengan mesej berbunyi: "Akaun Twitter FC Barcelona telah digodam, oleh sebab itu mesej dari luar kelab telah muncul dan ia telah dilaporkan dan dipadamkan. Ciapan itu telah dilakukan menerusi pihak ketiga.

"FC Barcelona akan menjalankan audit keselamatan siber dan akan mengkaji semula kesemua protokol dan pautan yang membabitkan pihak ketiga bagi mengelakkan kejadian sedemikian daripada berulang serta menjamin perkhidmatan yang terbaik kepada ahli dan peminat kami. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin disebabkan oleh situasi ini."

Akaun Sukan Olimpik juga menjadi mangsa.

OurMine menyiarkan mesej kepada seluruh akaun rasmi termasuk Sukan Olimpik, Athlete365 dan Media IOC sebelum ia dipadamkan.

Kumpulan penggodam itu sebelum ini menyasarkan organisasi seperti WikiLeaks, Real Madrid, NFL dan kelab-kelabnya serta Facebook, Instagram dan New York Times.

Editor: Shaiful Shamsudin