Kylian Mbappe menegaskan bahawa masa depannya adalah bersama Paris Saint-Germain (PSG) selepas tular khabar angin mengaitkannya dengan juara Eropah, Real Madrid.

Mbappe memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik atas persembahannya dalam temasya Russia 2018 selepas membantu Perancis dinobatkan juara Piala Dunia Russia, awal pagi tadi.

Pemain berusia 19 tahun itu melakar gol dalam kemenangan 4-2 Perancis ke atas Croatia di Moscow untuk melebarkan koleksinya kepada empat gol sepanjang kempen ini.

Mbappe -- yang akan memuktamadkan perpindahan kekal bersama juara Ligue 1, PSG, daripada pesaing Perancis, AS Monaco, sejurus tempoh pinjamannya di Paris berakhir -- tidak bercadang untuk meninggalkan ibu kota Perancis itu tatkala Madrid cuba mencari pengganti kepada Cristiano Ronaldo yang membawa haluan ke Juventus.

"Saya akan kekal bersama PSG, meneruskan karier saya dengan mereka," kata Mbappe kepada pemberita.

"Saya masih berada pada awal kerjaya."

Mbappe menikmati kempen 2018 yang cemerlang dengan PSG dengan menjaringkan 21 gol dalam semua pertandingan.