Bintang Atletico Madrid, Antoine Griezmann, akan mengesahkan sebarang perkhabaran mengenai masa depannya sebelum bermula Piala Dunia.

Pemain berusia 27 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona walaupun masih memiliki kontrak bersama Atletico sehingga 2022.

Bagaimanapun, tatkala Piala Dunia 2018 bakal bermula kurang daripada dua minggu lagi, Griezmann mengesahkan masa depannya akan dimuktamadkan sebelum bermula saingan di Russia.

"Ya, ia akan diselesaikan sebelum bermula Piala Dunia," kata Griezmann selepas menjaringkan satu gol sewaktu menundukkan Itali 3-1, awal pagi tadi.

Griezmann menjaringkan 29 gol untuk Atletico bagi musim 2017/18, yang menjadi musim keempatnya bersama skuad bimbingan Diego Simeone itu.

Perancis berada dalam Kumpulan C Piala Dunia 2018 dan dinamakan selaku pilihan selepas diundi bersama Australia, Peru dan Denmark.