RAPID VIENNA 0 INTER 1

Lautaro Martinez berharap situasi Mauro Icardi di Inter dapat "diselesaikan" dengan melabel rakan sepasukannya itu sebagai pemain tunjang untuk kelab Serie A itu.


Icardi telah dilucutkan peranan sebagai ketua pasukan dan diketepikan untuk kunjungan ke Rapid Vienna yang menyaksikan penalti yang diledak Martinez dalam babak pertama membantu kemenangan 1-0 Inter dalam aksi pusingan 32 Liga Europa, awal pagi tadi.

Martinez menganggap pemain berusia 25 tahun itu perlu menyelesaikan masalahnya dengan pengurusan tertinggi kelab itu.

"Icardi? Mauro adalah pemain penting bagi kami," kata pemain berasal dari Argentina itu.

"Ini satu situasi yang perlu diselesaikan oleh pengurusan tertinggi. Kami hanya perlu memikirkan soal permainan."

Jaringan Martinez itu adalah yang ketujuh buat Inter selepas tiba daripada Racing Club Julai tahun lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu gembira berada dalam senarai penjaring buat sekian kalinya menjelang pertemuan Serie A dengan Sampdoria di laman sendiri, Isnin depan.

"Bagi saya, adalah penting untuk menyempurnakan penalti itu: Kali terakhir ketika menentang Lazio dalam Coppa Italia, saya gagal melakukannya," kata Martinez.

"Bagaimanapun, saya mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri, oleh itu saya gembira. Penyerang sentiasa perlu menyumbat gol.

"Saya mahu meneruskan rentak ini. Ia sesuatu yang melibatkan usaha keras dan saya mengerah segala kudrat.

"Kami mencatat keputusan yang positif dan kini kami dapat berlatih dengan tenang untuk persiapan perlawanan yang akan datang."