RUSSIA 3 BELGIUM 3

Roberto Martinez meluahkan kekecewaaan apabila Belgium melepaskan kelebihan dua gol sebelum seri 3-3 dengan Russia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Olimpik Fisht di Sochi, awal pagi tadi.


Setelah pulih daripada dibolosi pada minit ketiga, Belgium bangkit dengan tiga gol menuju waktu rehat, dengan Christian Benteke menjaringkan dua gol selepas Kevin Mirallas menyempurnakan penalti pada minit ke-17.

Nacer Chadli menjadi perancang untuk kedua-dua gol penyerang Crystal Palace itu dan dia terus mencipta peluang pada separuh kedua, bagaimanapun, ia gagal disudahkan Benteke dan Toby Alderweireld.

Akhirnya, pelawat mencuri peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi Aleksey Miranchuk dan Aleksandr Bukharov, untuk mengecewakan Martinez.

"Saya tidak menyembunyikannya, saya sangat kecewa," katanya, seperti dipetik Het Nieuwsblad. "Kami datang ke sini untuk bermain permainan yang baik dan kami tidak sepatutnya melepaskan pendahuluan 3-1.

"Saya melihat beberapa sebab mengapa kami bermain begitu buruk dalam tempoh 20 minit terakhir. Enam penggantian yang saya lakukan tidak beraksi dengan baik. Kemudian hilang permainan agresif, pasukan hilang tumpuan mereka dan hasilnya adalah (dibolosi) gol.

"Kadang-kadang terdapat kesilapan individu, tetapi ia boleh berlaku, selepas membuat kesilapan anda (sepatutnya) menjadi lebih kuat.

"Ia juga satu perlawanan persahabatan, jadi anda mesti meletakkan segala-galanya dalam perspektif. Tetapi ia bukan alasan."

Chadli yang mempamerkan aksi mengagumkan juga marah dengan kegagalan di Stadium Fisht. Dia menambah: "Ini adalah perlawanan yang kami perlu menang.

"Kami menguasai dari minit pertama, kami sentiasa mempunyai bola, tetapi kami membiarkan Russia mencipta banyak peluang.

"Kami terus mengekalkan kawalan pada separuh kedua, tetapi kami kemudian memberikan dua gol pada suku terakhir, yang tidak sepatutnya.

"Ini adalah perlawanan yang sepatutnya tidak disia-siakan."