Pemain tengah Bayern Munich, Renato Sanches, dinasihatkan agar menyertai AC Milan oleh rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Portugal, Joao Mario.

Sanches dijangka meninggalkan Allianz Arena selepas sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pada musim pertamanya di Jerman.

Bagaimanapun, juara Bundesliga itu hanya mahu melepaskan Sanches menerusi pinjaman selepas pemain muda itu memperagakan aksi hebat ketika saingan pra-musim menentang Chelsea.

Mario, yang mewakili musuh ketat AC Milan, Inter Milan, berasakan bahawa San Siro adalah medan terbaik untuk rakan sepasukannya itu.

“Kami ada berbual pada Khamis selepas perlawanan. Dia masih muda dan mahu bermain, itu saya faham,” kata Mario.

“Saya memberitahunya jika dia menyertai AC Milan, dia akan bermain untuk pasukan yang besar,” tambahnya.

Inter memenangi kesemua tiga perlawanan pra-musim Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Singapura, namun menyifatkan masih terlalu awal untuk bercakap mengenai peluang Inter memenangi Serie A musim depan.

“Tiada gunanya bercakap mengenai kejuaraan Serie A,” ujar Mario.

“Juventus adalah pasukan pilihan, diikuti oleh Roma dan Napoli. Mereka telah bersaing sejak beberapa tahun yang lalu sebelum dituruti oleh AC Milan.

“Kami mahu memenangi Coppa Italia dan layak ke Liga Juara-Juara. Pasukan seperti Inter seharusnya beraksi di pentas Liga Juara-Juara setiap tahun,” katanya.