VALENCIA 2 REAL MADRID 1

Marcelo memberi amaran kepada Real Madrid agar belajar daripada kesilapan mereka selepas tumbang 2-1 kepada Valencia, awal pagi tadi.


Dalam aksi di Mestalla itu, Valencia hanya memerlukan sembilan minit untuk memimpin perlawanan menerusi ledakan Simone Zaza dan Fabian Orellana.

Biarpun Cristiano Ronaldo berjaya mengurangkan defisit gol itu pada penghujung babak pertama, ia tidak dapat membendung kekalahan kedua Madrid dalam aksi LaLiga musim ini.

Pasukan kendalian Zinedine Zidane itu tewas tiga kali tahun ini -- berbanding hanya dua kekalahan sepanjang 2016 -- dan mereka kekal menguasai puncak LaLiga dengan satu mata mengatasi Barcelona, dengan Madrid masih mempunyai baki satu lagi kelebihan perlawanan.

Marcelo percaya mereka patut menyalahkan diri sendiri di atas keputusan tersebut dan menggesa rakan sepasukannya supaya tidak lagi mengulangi aksi longlai sedemikian.

"Saya berasakan kami memulakan permainan dengan buruk, tiada alasan lain lagi," katanya sejurus tamat permainan.

"Kami patut menyalahkan diri sendiri, kami menampilkan aksi buruk.

"Kami cuba mengubah kedudukan sehingga penghujung perlawanan tapi kami telah melepaskan dua gol mudah dan kami membuat kesilapan. Kami masih di puncak, namun kami tidak boleh memulakan permainan seperti ini.

"Valencia sebuah pasukan mantap, mereka menempuhi tempoh buruk tapi memang sukar beraksi di sini.

"Sokongan peminat mereka sangat hebat.

"Kami akan belajar daripada kesilapan ini agar ia tidak berulang lagi.

"Kami telah melakukan segala yang terdaya untuk mendapatkan jaringan penyamaan tapi kami haruslah mengubah beberapa perkara."