Marcelo menjelaskan bahawa pintu sentiasa terbuka buat Neymar untuk menyertai Real Madrid sambil mengingatkan bahawa Cristiano Ronaldo tidak memiliki pasukan itu.

Masa depan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, dan pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or, Ronaldo, menjadi topik hangat menjelang Piala Dunia 2018.

Neymar dilaporkan mahu meninggalkan juara Ligue 1 itu sambil Ronaldo dikaitkan dengan jalan keluar dari Los Blancos susulan kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut bulan lalu.

Walaupun Marcelo mahu Ronaldo kekal di ibu kota Sepanyol itu, dia juga tidak berdepan masalah sekiranya Neymar yang juga rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Brazil, datang ke Madrid.

"Ronaldo bukan pemilik Real Madrid," kata Marcelo.

"Jika presiden, Florentino Perez, mahu mendapatkan seseorang, dia akan melakukannya. Ia tidak akan menjadi seperti Neymar tidak akan datang ke sini disebabkan Ronaldo.

"Saya mahu Ronaldo kekal, begitu juga dengan pemain-pemain lain tetapi pintu sentiasa terbuka buat Neymar. Pemain terbaik di dunia harus beraksi buat Real Madrid.

"Saya telah memperkatakannya sejak dua atau tiga tahun lalu. Saya rasa satu hari nanti Neymar akan menyertai Madrid, cuma belum tahu bila waktunya."

Dalam masa sama, Marcelo turut mempertahankan Sergio Ramos selepas kapten Madrid itu berperang mulut dengan Roberto Firmino berkenaan insiden ketika aksi final Liga Juara-Juara Eropah.

"Saya telah mengenali Ramos selama 12 tahun dan tentunya tidak bagus apabila anda menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sebanyak tiga kali berturut-turut tetapi orang ramai tetap bercakap tentang pertembungan dengan penjaga gol, insiden pemain terpaksa meninggalkan padang serta penalti yang tidak diberikan.

"Saya rasa lebih baik untuk menghargai tiga trofi yang diraih Madrid.

"Mengenai Firmino dan Ramos, semua tahu apa yang diperkatakan oleh Ramos sebagai satu jenaka tetapi ia disalah anggap. Saya beraksi bersama Ramos selama 12 tahun dan Firmino selama empat tahun. Jadi, saya tidak akan memberikan sebarang komen tetapi ini cara saya melihat situasi ini."