Legenda Argentina, Diego Maradona, menjelaskan dia berada dalam keadaan baik selepas menerima rawatan sewaktu pasukan negaranya meraih kemenangan ke atas Nigeria, awal pagi tadi.

Maradona menarik perhatian dengan gelagatnya sewaktu menyaksikan perlawanan di St Petersburg itu, namun wujud satu gambar memaparkannya dibantu pasukan perubatan selepas Argentina mengesahkan tempat ke pusingan kedua susulan kemenangan 2-1.

Walaupun situasi itu menimbulkan persoalan tentang kesihatannya, pemenang Piala Dunia 1986 itu menafikan dirinya dibawa ke hospital, sebaliknya hanya diminta untuk meninggalkan bangku penonton sewaktu tamat babak pertama.

Bekas pemain yang berusia 57 tahun itu menjelaskan keadaannya baik menerusi laman Facebook selepas mengalami kesakitan pada bahagian leher.

"Saya mahu memberitahu semua orang bahawa saya berada dalam keadaan yang bagus dan tidak dimasukkan ke hospital," katanya.

"Selepas tamat babak pertama ketika aksi Argentina berdepan Argentina, saya mengalami kesakitan pada bahagian leher dan berdepan masalah untuk bernafas.

"Saya diperiksa oleh doktor dan dia mencadangkan saya agar meninggalkan stadium sebelum bermula separuh masa kedua tetapi saya mahu kekal di situ kerana Argentina sedang berjuang. Bagaimana boleh saya meninggalkan stadium?

"Ciuman untuk semua, terima kasih di atas semua sokongan," ujarnya.

Maradona dilihat menari-nari, meraikan dan tidur di stadium, sebelum didapati menunjukkan jari tengah kepada peminat-peminat selepas Marcos Rojo menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86.

Argentina akan berdepan Perancis di Kazan bagi aksi pusingan kedua Sabtu ini.