Penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid, menyifatkan sokongan rakan sepasukan di atas padang memberikannya keyakinan untuk tampil cemerlang ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super kelmarin.

Bekas penjaga gol Pahang ini tangkas menangkis serangan bertali arus JDT bagi memastikan perlawanan terikat seri tanpa jaringan walaupun ia aksi pertamanya musim ini.

Khairul Azhan turut menyifatkan disiplin bahagian pertahanan banyak membantunya.

"Saya bersyukur kami berjaya mengutip satu mata di Larkin. Tahniah kepada rakan sepasukan yang telah berjuang lebih 100 peratus.

"Rezeki saya kerana berjaya menyelamatkan gawang Selangor daripada sepakan penalti Brian Ferreira," katanya.

Aksi pemain berusia 27 tahun itu turut mendapat pujian pengendali Selangor, P. Maniam, yang menyifatkan Khairul Azhan memiliki kemampuan untuk menyelaras bahagian pertahanan.

"Semua pemain bermain dengan baik dan kita juga dapat melihat Azhan memiliki kemampuan untuk mengatur barisan pertahanan.

"Tindakannya menyelamatkan gawang kami turut menyuntik semangat terhadap rakan sepasukan lain bagi memastikan gawang tidak bolos," ujar Maniam.