Roberto Mancini yakin Itali mampu mengikut langkah Perancis dan Sepanyol dalam menuju era baru menjelang Euro 2020.

Itali gagal layak ke Piala Dunia 2018 tetapi menikmati permulaan heabt dalam saingan kelayakan Euro 2020 di bawah kendalian Mancini apabila menundukkan Finland 2-0 dan Lichtenstein 6-0.

Kempen kelayakan mereka akan diteruskan berdepan Greece 8 Jun ini, sebelum melayan kunjungan Bosnia-Herzegovina tiga hari kemudian.

Mancini percaya anak buahnya mampu membina semula pasukan mengikut jejak langkah pemenang Piala Dunia 2010, Sepanyol, serta juara dunia ketika ini, Perancis.

"Jika kami melakukan kerja dengan baik, menampilkan bola sepak menyerang yang menghiburkan, keputusan mampu diraih," kata Mancini.

"Kami adalah Itali, kami mampu menjadi seperti Perancis dan Sepanyol dalam menuju era baru. Ia detik hebat dalam bola sepak kami.

"Jika kami perlu berdepan Perancis sekarang, mereka akan menundukkan kami tetapi kami akan membuktikan kekuatan dalam Euro 2020.

"Perancangan saya adalah meraih kejayaan dalam Piala Dunia 2022 tetapi kini mencabar untuk Euro 2020."

Mancini telah memperkenalkan beberapa bakat baru dalam skuad Itali sejak mengemudi pasukan dan walaupun meletakkan pemain tidak berpengalaman mungkin bakal mencetuskan masalah, dia tiada masalah untuk menurunkan pemain seperti Moise Kean serta bintang Roma, Nicolo Zaniolo.

"Kami memiliki beberapa bakat baru yang bakal muncul," tambah Mancini.

"Kean baru berusia 19 tahun, jadi terpulang kepada dia kerana dia mampu bergelar penyerang hebat. Kadangkala, saya menggunakannya di bahagian sayap tetapi jika melakukan apa yang perlu, dia akan bertindak selaku penyerang tengah.

"Kemudian, kami memiliki Sandro Tonali, Nicolo Barella, Gianluca Mancini dan Zaniolo. Mereka begitu berbakat, mempunyai fizikal yang kuat, jadi kami berpeluang.

"Terdapat isu mengenai pengalaman kerana ketika zaman saya, kami berada pada usia sama dan telah berada di pentas bola sepak Serie A selama tiga tahun.

"Selain itu, hebat apabila menyaksikan reaksi dan keinginan mereka," tambahnya.