Pengendali skuad kebangsaan Itali, Roberto Mancini, menegaskan karier antarabangsa penjaga gol, Gianluigi Buffon, masih belum tamat.

Pemain veteran itu dipercayai telah beraksi buat kali terakhir di peringkat antarabangsa, namun Mancini mendedahkan semalam dia telah berbincang dengan Buffon.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu mengucapkan selamat tinggal buat Juventus minggu lalu dan dikaitkan dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain (PSG) tetapi kini dijangka menambah jumlah 176 penampilan bersama Azzurri.

"Saya telah bercakap dengan Buffon," kata Mancini.

"Dia mahu terus bermain dan setiap pemain yang masih aktif akan diberikan pertimbangan.

"Saya menghormati keinginannya pada ketika ini."

Penampilan terakhir Buffon bersama Itali adalah ketika aksi persahabatan menentang Argentina yang berakhir dengan kekalahan 2-0, perlawanan pertama selepas aksi play-off Piala Dunia yang menyaksikan Azzurri dikejutkan oleh Sweden.

Senarai 30 orang pemain yang diumumkan Mancini baru-baru ini menyaksikan kehadiran semula penyerang, Mario Balotelli, menjelang aksi persahabatan bertemu Arab Saudi, Perancis dan Belanda, sekali gus bakal mempamerkan pembinaan semula pasukan Itali setelah gagal ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958.

"Saya bukan ahli sihir walaupun pasukan ini dipenuhi kualiti.

"Saya yakin kerana Itali dibarisi pemain-pemain yang mampu berkembang lebih bagus. Ia cuma memerlukan masa," tambahnya.