Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini meluahkan kekecewaan ekoran bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, tidak akan beraksi dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah melibatkan kedua-dua pasukan itu di San Siro, awal pagi nanti.

Ronaldo tidak mewakili negaranya sejak Piala Dunia lalu dengan ketua jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Portugal memberikannya waktu rehat.

Masih belum jelas bila penyerang Juventus itu akan kembali menyarung jersi Portugal.

Bagaimanapun, pasukan juara Eropah itu seakan-akan tidak terkesan dengan ketiadaan Ronaldo selepas merekodkan tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan terakhir mereka.

Mereka yang kini pendahulu Kumpulan 3, Liga A akan bertemu Itali tanpa kelibat penyerang utama itu.

"Cristiano merupakan antara pemain terbaik dunia," kata Mancini dalam sidang media.

"Sudah pasti kehadirannya akan memberikan kelainan dalam perlawanan.

"Dia memiliki kemahiran yang unik.

"Namun, Portugal masih mempunyai rangkaian penyerang yang baik.

"Saya yakin ia akan tetap menjadi perlawanan yang menarik tanpa Ronaldo walaupun kami berharap dapat berdepan dengannya.

"Ia pasti menjadi lebih menarik jika dapat melihat kelibat Ronaldo di atas padang.

"Kami kecewa kerana dia tidak akan bermain," katanya lagi.