Pengurus Zenit St Petersburg, Roberto Mancini, menegaskan dia gembira di Russia selepas dilihat sebagai antara pilihan untuk mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Itali.

Gian Piero Ventura telah dipecat oleh Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) selepas gagal membawa pasukan itu layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958.

Bekas pengendali Manchester City dan Inter, Mancini, yang memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Serie A, dilihat sebagai calon terbaik untuk mengisi kekosongan itu di samping Carlo Ancelotti, Fabio Capello dan Fabio Cannavaro.

Bagaimanapun, Mancini mendedahkan beliau tidak memiliki perancangan untuk meninggalkan Zenit.

"Saya tidak terkejut apabila nama saya telah tersenarai, terdapat beberapa nama pengurus pilihan yang memiliki pengalaman yang luas," kata Mancini.

"Tetapi saya gembira di Zenit dan tidak memikirkan mengenai skuad kebangsaan.

"Objektif saya adalah menjuarai Liga Russia," katanya.