Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) mengesahkan bahawa Roberto Mancini dilantik sebagai ketua jurulatih Itali.

Bekas pengendali Zenit itu, yang bersetuju dengan kontrak yang tidak didedahkan, akan diperkenalkan secara rasmi dalam sidang media di Florence, hari ini.

Berita itu menamatkan pencarian pengganti Gian Piero Ventura, yang meninggalkan jawatan itu selepas tewas kepada Sweden dalam aksi play-off Piala Dunia, November lalu.

Luigi Di Biagio dipilih sebagai jurulatih sementara, dengan Carlo Ancelotti dan pengurus Chelsea, Antonio Conte, merupakan antara pilihan menggantikan tempat Ventura.

Bekas pengendali Manchester City itu melepaskan jawatan di Zenit selepas menamatkan saingan di tempat kelima dalam saingan Liga Perdana Russia.

Dia yang berkunjung ke Rome untuk berbincang dengan FIGC, mengakui dia gembira kembali ke Itali.

Aksi pertama Itali di bawah kendalian jurulatih baru adalah berdepan Arab Saudi pada 28 Mei ini, diikuti aksi persahabatan berdepan Perancis dan Belanda.