Persatuan Bolasepak Inggeris mendenda Manchester City £35,000 (RM194,000) kerana gagal mengawal pemain mereka semasa seri 1-1 menentang Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, awal bulan ini.

City menerima pertuduhan itu minggu lalu berhubung reaksi mereka selepas sepakan penalti pada separuh masa kedua yang dianugerahkan kepada Liverpool oleh pengadil, Michael Oliver, akibat kekasaran Gael Clichy terhadap Roberto Firmino.

Beberapa individu dalam pasukan Pep Guardiola terus membuat protes selepas bekas pemain City, James Milner, mengambil sepakan itu.

Sergio Aguero menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-69 untuk mengekalkan City di tempat ketiga, satu mata di hadapan Liverpool dalam EPL, dengan memiliki satu perlawanan dalam tangan.

Dalam pada itu, Manchester United mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang sama berikutan kekalahan kepada Chelsea dalam suku akhir Piala FA dan didenda £20,000 (RM111,000).