Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, tidak mahu faktor kepenatan menghantui barisan pemainnya dengan melakukan keputusan drastik untuk membatalkan aksi persahabatan dengan kelab Liga Super, Petaling Jaya City FC, kelmarin.

Terlebih latihan dan tekanan dalam aksi persahabatan mampu memberikan kesan negatif buat anak buahnya yang majoritinya akan menimba pengalaman pertama dalam Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam bulan depan.

Ia membuatkan Maloney mengambil keputusan untuk mengurangkan tekanan itu dengan membatalkan pertemuan dengan PJ City FC.

Tegasnya, dua aksi persahabatan dengan PDRM dan Selangor United sebelum ini sudah cukup untuk dia dan barisan kejurulatihannya memilih senarai 23 pemain terbaik.

"Kami berasakan sudah memiliki dua perlawanan yang baik minggu ini dan perlawanan ketiga mungkin terlalu berat untuk peringkat seawal ini.," katanya.

Perlawanan bertemu Terengganu FC II (TFC II) Rabu ini adalah medan terakhir untuk Maloney memutuskan senarai penuh yang terdiri daripada tiga penjaga gol dan 20 pemain lain untuk dibawa ke Vietnam.

"Secara umumnya, dalam kejohanan bawah umur seperti ini, Vietnam amat bagus.

"Mereka layak ke final Kejohanan B-23 pada 2018.

"Kami juga penah bertemu Thailand dalam final Sukan SEA 2017.

"Kami akan berdepan pasukan-pasukan yang hebat," tambahnya.