Penolong jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Brad Maloney, dikatakan menjadi pilihan utama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggantikan Bojan Hodak yang tidak disambung kontrak sebagai pengendali baru skuad B-19 negara.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, yang ditemui selepas sidang media program Asian Eleven di Wisma FAM, Kelana Jaya, bagaimanapun enggan mengesahkan spekulasi tersebut yang bertiup kencang ketika ini.

Beliau memaklumkan FAM masih menilai beberapa individu lain untuk mengisi jawatan pengendali baru skuad B-19 negara, yang berhadapan tugas berat untuk membentuk pasukan mantap bagi menghadapi Kejohanan Remaja B-18 ASEAN di Vietnam, Ogos depan.

“Kami ada beberapa perkara lagi yang perlu dihalusi dengan calon berkenaan dan selepas itu, baru kami (FAM) akan membuat pengumuman rasmi selain persiapan pasukan ini untuk kejohanan di Vietnam nanti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Maloney yang menjadi pembantu kepada pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, sejak 2014 menjadi pilihan utama FAM susulan kejayaannya membantu skuad berkenaan meraih keputusan positif dalam beberapa kejohanan antarabangsa, termasuk pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, selain layak ke suku akhir Kejohanan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China, tahun lalu.

Sementara itu, pemain skuad B-18 negara, Ali Imran Sukari, yang turut ditemui selepas sidang media berkenaan, optimis skuad negara mampu layak ke pusingan seterusnya dalam saingan di Vietnam berdasarkan laluan sukar yang perlu ditempuhi mereka kali ini.

“Bagi saya, Australia merupakan pencabar utama kita pada kali ini. Kami cuba beri saingan kepada Australia dan beberapa pasukan lain walaupun kami tahu lawan kami kali ini agak kuat,” jelas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu.

Malaysia berhadapan laluan sukar bagi edisi ke-17 kejohanan berkenaan selepas diundi menentang juara lima kali, Thailand, serta juara empat kali, Australia, dalam saingan Kumpulan B bersama tiga pasukan lain, iaitu Kemboja, Singapura dan tuan rumah, Vietnam.

Enam pasukan pula akan bersaing dalam Kumpulan A, iaitu Myanmar, Indonesia, Laos, Timor-Leste, Filipina dan Brunei Darussalam.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara buat julung kalinya selepas mengalahkan Myanmar 4-3 dalam aksi final edisi 2018 di Indonesia.

-- BERNAMA