Selepas 15 tahun, ketua pasukan bola sepak wanita negara, Malini Nordin, berharap mampu meraih satu pencapaian yang mampu dikenang sebelum mengambil keputusan bersara daripada pentas antarabangsa satu hari nanti.

Malini, yang merupakan tonggak paling senior dalam pasukan kebangsaan, mahu memikirkan soal persaraan selepas Sukan SEA 2019 di Filipina.

Bagaimanapun, dia sedikit kecewa kerana sepanjang pembabitan bersama skuad negara, dia belum pernah meraih sebarang kejuaraan atau pingat.

Justeru, dia mahu mendapatkan sekurang-kurangnya pingat gangsa di Filipina 2019 atau melakar sesuatu dalam Kejohanan AFF 2018.

"Saya mahu meraih satu kenangan selepas bersara nanti. Sebelum ini, kami mendapat tempat keempat dalam Sukan SEA dan berharap dapat meraih pingat," kata Malini.

Sementara itu, penjaga gol muda berbakat, Nurul Azurin Mazlan, berharap lebih banyak pendedahan mampu diraihnya bersama skuad wanita negara.

Tampil dengan imej bertudung, Azurin tidak melihat stigma masyarakat yang melabel bola sepak kurang sesuai dengan wanita Melayu mampu menghalang minatnya menceburi sukan itu dengan lebih serius.

"Jika negara seperti Iran, mereka masih tampil beraksi dalam bola sepak dan menutup aurat. Saya berharap lebih ramai lagi wanita menyertai sukan ini," kata Nurul.