Penyerang Barcelona, Malcom, sangat gembira setelah mencetak gol dan berkesempatan bergandingan dengan Lionel Messi dalam aksi sulungnya di Camp Nou.

Malcom dan ketua pasukan baru, Messi, adalah antara penjaring ketika juara LaLiga itu menundukkan Boca Juniors 3-0 untuk memenangi Piala Joan Gamper, awal pagi tadi.

Aksi itu merupakan kemunculan pertama Malcom di Camp Nou selepas tiba dengan nilai €41 juta (RM191.4j) daripada Bordeaux dan bintang Brazil itu membuka tirai gol dengan rembatan leret pada minit ke-18.

Menggambarkan penampilannya di samping pemenang lima kali Ballon d'Or, Messi, Malcom berkata: "Saya tidak mempunyai kata-kata untuk menggambarkannya.

"Dia adalah terbaik di dunia dan dapat memulakan permainan dengannya selain menerima umpanan daripadanya untuk menghasilkan gol membuatkan saya cukup gembira."

Malcom menambah: "Sangat gembira menjadi juara dan melihat stadium ini dipenuhi ramai peminat. Ia adalah aksi pertama saya di Camp Nou. Keluarga saya ada di bangku penyokong dan saya pula menyumbat gol, ia adalah satu impian.

"Walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan, saya sangat gembira kerana adalah penting untuk memulakan aksi dengan jaringan."

Barca akan membuka kempen mempertahankan gelaran LaLiga menentang Deportivo Alaves, awal pagi Ahad nanti.

"Kami teruja untuk memulakan saingan La Liga," kata Malcom. "Kami memiliki pemain yang hebat dan saya sangat gembira dengan cara mereka menerima saya, saya berharap dapat menghasilkan lebih banyak gol lagi."