MALAYSIA 2 MONGOLIA 2

Kemarau kemenangan skuad Harimau Malaya terus berlanjutan kepada 11 perlawanan sejak November 2016 apabila sekadar seri 2-2 dengan Mongolia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.


Menampilkan beberapa muka baru daripada skuad B-23 negara di samping ketua jurulatih baru, Tan Cheng Hoe, malangnya keputusan ini membayangkan tahap skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan bertaraf 'A' ini masih di takuk lama.

Malah, ia sekadar mengesahkan kedudukan terbaru Malaysia di tangga ke-178 dunia -- yang terburuk dalam sejarah bola sepak negara -- kerana tidak pun mampu mengatasi Mongolia, pasukan diwakili pemain separa profesional, yang mengisi ranking ke-189 dunia.

Berdepan skuad kendalian jurulatih berbangsa Jerman, Michael Weiss itu, Malaysia gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Nasional apabila Mongolia dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk kesudahannya mengikat kedudukan.

Jaringan sendiri kapten pasukan Mongolia, Turbat Daginaa, meletakkan Malaysia di depan seketika sebelum lawan bangkit menyamakan kedudukan -- kegagalan pertahanan Fadhli Shas menampan bola membenarkan penyerang, Purevdorj Erdenebat, menyungkit mengatasi Haziq Nadzli untuk gol penyamaan tiga minit sebelum tamat separuh masa.

Bersambung separuh masa kedua, skuad kendalian Cheng Hoe itu seperti meraih nafas baru apabila kerap melakukan serangan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila pemain Kedah, Akhyar Rashid, meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-62.

Bagaimanapun, Mongolia sekali lagi mengikat kedudukan apabila Gankhuyag Serodyanjiv menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti yang sekali lagi menyaksikan Haziq tertewas.

Malaysia hampir meraih gol kemenangan apabila dua percubaan daripada Natxo Insa dan Wan Zack Haikal Wan Noor sekadar menggegar palang gol pada penghujung permainan.

Kredit foto: Asiana