Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menyarankan persediaan awal harus dilakukan jika mahu cemerlang dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)
B-23 edisi seterusnya yang juga aksi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.


Skuad B-23 negara muncul antara lapan pasukan terbaik Asia pada penampilan sulung mereka dalam kejohanan tersebut.

Sememangnya, ia satu pencapaian hebat memandangkan mereka tidak diberikan harapan tinggi untuk mara jauh selepas berada dalam kumpulan bersama Iraq, Jordan dan naib juara bagi edisi 2013, Arab Saudi.

Kini, Kim Swee tidak menafikan skuad negara perlu mempunyai sasaran dalam kejohanan seterusnya yang turut menawarkan slot ke Sukan Olimpik 2020.

"Ia merupakan penanda aras yang baik buat barisan pemain-pemain ini. Menyedari saingan yang lebih sukar menanti, persiapan awal harus dilakukan bagi menghadapi kelayakan Sukan Olimpik 2020," katanya.

Untuk rekod, seramai 12 pemain masih boleh beraksi dalam Kejohanan AFC akan datang, antaranya Haziq Nadzli (penjaga gol), Safawi Rasid (penyerang), Akhyar Rashid (sayap) dan Daniel Amier Norhisham (tengah).

Ia tampak memberi gambaran bahawa skuad negara mampu tampil lebih menyinar dalam misi mengintai peluang beraksi di pentas Olimpik.

"Saya akan kembali bersama Felda United selepas ini dan cuba memberikan yang terbaik dalam usaha meningkatkan prestasi serta berharap untuk meningkatkan mutu bola sepak negara," kata Daniel.