Pengendali Pulau Pinang, Ashley Westwood, dikenakan penggantungan empat perlawanan berserta denda ekoran tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan dalam aksi Liga Super berdepan Perak pada 27 Januari lalu.

Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencapai keputusan tersebut semalam selepas mendapati jurulatih kelahiran England itu melanggar Artikel 5.1 (salahlaku terhadap pegawai perlawanan) serta Artikel 59 (kelakuan menyinggung dan fair play) dan Artikel 50.1 (salahlaku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan).

Ashley akan digantung empat perlawanan, termasuk satu penggantungan automatik yang telah pun dijalaninya ketika berdepan T-Team, 4 Februari lalu.

Tiga perlawanan Liga Super lain menyaksikan pengendali berusia 40 tahun itu akan terlepas aksi berdepan Sarawak, Sabtu ini, serta dua perlawanan seterusnya berdepan Pahang dan Kedah pada 18 dan 25 Februari ini.

Dia turut perlu membayar denda RM2,000 selain diberi amaran keras jika mengulangi kesalahan sama.