Pengendali Filipina, Thomas Dooley, setakat ini meneruskan kebangkitan negara itu di pentas bola sepak antarabangsa sejak kejayaan menempah slot ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010 hingga 2014.

Walaupun mereka gagal mengulangi pencapaian tersebut dalam Piala Suzuki 2016, bekas pemain Piala Dunia Amerika Syarikat ini telah memberikan peningkatan kepada ranking dunia skuad Azkal ke tangga 124 dunia.

Dooley yang pernah beraksi buat AS dalam saingan Piala Dunia 1994 dan 1998 telah meraih pengalaman dalam bidang kejurulatihan ketika dilantik sebagai penolong jurulatih skuad AS yang dibimbing Jurgen Klinsmann pada tahun 2011 sehingga 2014.

"Pengalaman saya bekerjasama dengan Jurgen Klinsmann bersama skuad kebangsaan AS telah meningkatkan lagi minat saya dalam bidang kejurulatihan dan saya telah dipilih mengendalikan Filipina.

"Pihak Persatuan Bola Sepak Filipina telah menghubungi saya dan mereka mempercayai kebolehan saya," kata Dooley.

Dooley menyifatkan dengan adanya liga profesional di Filipina, negara itu akan terus menghasilkan lebih ramai pemain muda yang mampu meningkatkan mutu permainan skuad kebangsaan itu.

"Filipina memiliki liga profesional dan fasiliti yang lengkap, bagaimanapun masih kekurangan pemain untuk memberikan saingan, sekaligus meningkatkan mutu permainan.

"Saya berharap lebih ramai pemain muda mewarnai liga bola sepak Filipina untuk membantu skuad negara, malah meningkatkan taraf hidup mereka.

"Saya dapat melihat peningkatan pasukan saya setiap tahun. Mampukah kami meningkatkan mutu permainan dengan lebih pantas? Ya, kami mampu dengan memberikan keutamaan kepada setiap aspek dan saya berharap lebih ramai pemain muda dapat diserap masuk ke dalam pasukan."