Fernando Morientes menyokong keputusan Real Madrid untuk tidak mengejar Kylian Mbappe, dengan mendakwa pemain antarabangsa Perancis berkenaan mesti membuktikan dia cukup bagus untuk bermain bersama juara Eropah itu.

Madrid dikaitkan dengan perpindahan Mbappe tetapi Paris Saint-Germain (PSG) yang menandatangani pemain remaja itu setelah bersetuju terhadap perjanjian secara pinjaman dengan Monaco.

Walaupun beberapa peminat Los Blancos mungkin kecewa, Morientes -- bekas pemain Madrid dan Monaco -- percaya bahawa skuad La Liga itu tidak memerlukan Mbappe selepas mengecap kejuaraan liga dan Liga Juara-Juara Eropah.

"Memandangkan Madrid memiliki musim lalu yang luar biasa, tiada keperluan untuk membeli terlalu ramai pemain," katanya dalam satu majlis di Abu Dhabi. "Pemain seperti Mbappe akan mempunyai banyak pilihan pasukan untuk pergi.

"Biasanya, apabila anda memerlukan pemain baru, anda telah melepasi musim yang buruk. Pada pendapat saya, Madrid telah melakukan perkara yang betul dengan tidak memilih perubahan besar.

"Mbappe adalah pemain yang hebat dan dia mempunyai peluang untuk membawa permainannya ke tahap yang lain. Dia akan mendapat peluang untuk bermain dalam satu pasukan seperti Madrid.

"Untuk bermain di Madrid, anda perlu benar-benar berada di puncak prestasi dan sepatutnya menjadi salah seorang yang terbaik."

Morientes berasakan PSG akan bersaing untuk merampas mahkota Liga Juara-Juara tetapi dia menjelaskan gergasi Ligue 1 itu perlu mencari jalan bagi membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang lebih baik daripada skuad Zinedine Zidane.

"PSG jelas merupakan antara pasukan pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara," katanya.

"Tetapi, untuk mencapai tahap seperti Real Madrid, anda bukan sahaja memerlukan pemain yang bagus tetapi juga perlu memastikan mereka bermain sebagai satu pasukan.

"Kita perlu tunggu dan lihat apakah mereka boleh melakukannya."