Romelu Lukaku menyumbat gol pertamanya untuk Manchester United ketika kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu meraih kemenangan kedua daripada dua perlawanan pra-musim di Amerika Syarikat dengan mengalahkan Real Salt Lake 2-1, pagi tadi.

Selaku pembelian bernilai £75 (RM420 juta) daripada Everton, Lukaku membuat penampilan sulung ketika berdepan LA Galaxy minggu lalu tetapi penyerang Belgium itu dikerah menanti sehingga penampilan keduanya di Salt Lake untuk mencatat nama sebagai penjaring.

Henrikh Mkhitaryan melintangkan hantaran buat Lukaku, yang memperdayakan dua pemain pertahanan dan menggelecekkan penjaga gol, Eduardo Fernandez, sebelum menyudahkan jaringan pada minit ke-39.

Ia, bagaimanapun, bukanlah satu perlawanan mudah buat United yang mendapati pemain gantiannya, Antonio Valencia, dibuang padang ketika perlawanan berbaki 22 minit selepas RSL menekan skuad Jose Mourinho untuk lebih banyak bertahan bagi sebahagian besar separuh masa pertama di Stadium Rio Tinto.

Phil Jones dan United jelas bergelut untuk menangani kepantasan RSL, dengan Luis Silva membuat kejutan dengan gol pendahuluan tuan rumah dengan memanfaatkan satu hantaran lolos Jefferson Savarino pada minit ke-23 tetapi Mkhitaryan menyamakan kedudukan enam minit kemudian.

Tumpuan kini terarah kepada perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) menentang juara LaLiga dan Liga Juara-Juara, Real Madrid, di Santa Clara, Ahad ini.

United kembali kepada benteng empat pemain pertahanan di sebalik menggunakan formasi 3-5-2 ketika menentang Galaxy.

Pembelian baru, Victor Lindelof, menyelitkan diri dalam kesebelasan permulaan untuk berpasangan dengan Jones – yang mengekalkan posisinya – dengan Timothy Fosu-Mensah dan Daley Blind melengkapkan benteng.

Joel Pereira mengambil tempat penjaga gol, David de Gea, sambil Paul Pogba, Lukaku dan Mkhitaryan turut tersenarai dalam kesebelasan permulaan.

Ia, bagaimanapun, menyaksikan permulaan sukar buat United, yang diancam percubaan awal lawan di samping kepantasan pasukan tuan rumah itu di kedua-dua bahagian sayapnya.

Jika tidak kerana satu terjahan Jesse Lingard, United harus ketinggalan pada minit ke-19 terhadap satu percubaan Plata.

RSL – di tangga kesembilan dalam Western Conference – menemui jaringannya empat minit kemudian menerusi Silva, yang memanfaatkan satu hantaran lolos untuk menewaskan Pereira.

Gol itu membuat United tersentak daripada lamunan untuk Mkhitaryan menyamakan kedudukan sejurus menghampiri minit ke-30 sebelum Lukaku mengambil gilirannya untuk melengkapkan kemenangan sembilan minit kemudian.

Gambar: Laman Facebook rasmi Manchester United.