Romelu Lukaku membuat penampilan sulungnya ketika Manchester United meraih kemenangan 5-2 ke atas LA Galaxy dalam aksi persahabatan, pagi tadi.

Lukaku, yang menyertai United dari Everton dengan yuran dilaporkan £75 juta (RM420 juta), bermain dalam separuh masa kedua di StubHub Center di California.

Pemain antarabangsa Belgium itu melepaskan peluang keemasan sejurus selepas diperkenalkan tetapi tiada aksi menarik selepas itu.

Victor Lindelof turut membuat penampilan sulungnya bersama United tetapi kedudukan sudah 3-0 ketika kedua-duanya diperkenalkan.

Marcus Rashford mencuri tumpuan pada babak pertama selepas menjaringkan dua gol sebelum Marouane Fellaini menemui gol ketiga United.

Henrikh Mkhitaryan dan Anthony Martial meledak selepas rehat dengan Giovani dos Santos kemudian membalas dua gol buat Galaxy.

Jose Mourinho juga menurunkan tiga pertahanan baru dalam perlawanan persahabatan pra-musim pertama untuk juara Liga Europa itu.

Mourinho memperkenalkan kesebelasan baru pada babak kedua, termasuk Lukaku, Lindelof dan Paul Pogba.

Lukaku mempunyai peluang besar untuk membuka akaun jaringannya setelah menerima hantaran daripada Pogba pada minit ke-49, tetapi Brian Rowe -- yang menggantikan Kempin -- menyelamatkan bola dengan kemas.