Pemain kebangsaan Mexico, Hirving Lozano, tiba di Itali semalam menjelang perpindahannya menyertai Napoli daripada PSV.

Pemain sayap berusia 24 tahun itu telah dikaitkan dengan kelab Naples itu sejak jendela perpindahan dibuka dan persetujuan di antara kedua-dua pihak dilihat sudah tercapai.

Lozano telah diserbu oleh sekumpulan penyokong Napoli apabila tiba di lapangan terbang di Rome.

Pemain sayap yang gemar mencari jaringan, Lozano, telah menikmati dua musim yang cemerlang bersama PSV dalam saingan Eredivisie.Berhijrah daripada Pachuca pada 2017 selepas memahat reputasi buat dirinya di Mexico, Lozano kelihatan tidak menghadapi sebarang masalah dengan bola sepak Belanda.

Dia meledak 17 gol dan melakukan lapan bantuan jaringan dalam musim pertama, sekali gus membuka peluang menyertai kelab ternama Eropah seperti Manchester United.

Walaupun Lozano gagal membantu PSV menjuarai gelaran musim lalu, dia membuktikan musim pertamanya bukan sekadar tuah apabila merekodkan bilangan gol dan bantuan jaringan yang sama.

Turut dikenali dengan corak larian pantas, Lozano sudah mewakili Mexico 35 kali dan dilihat sebagai salah seorang pemain yang berbakat sejak ikon Real Madrid, Hugo Sanchez.

Lozano dilaporkan akan menjalani ujian kesihatan hari ini.